Friday, 24 May 2013

Orang Jepun hebat?

Assalamualaikum




"Budhha (yang dimaksudkan ialah sami rasanya) tak boleh makan daging, tak boleh minum alkohol, tak boleh kahwin"

Petikan kata-kata tutor yang berasal dari Tanah Besar China. Dalam suatu pertemuan yang bertujuan membincangkan masalah berkaitan pelajaran. Tapi dah alang-alang dia tanya, apa tak boleh makan, kenapa pakai baju kurung, itu dan ini, tanya la pandangan dia balik.

Kata-kata yang menimbulkan bisikan dalam hati aku, "Macam tu, Islam lagi best!"

Betul la kan?


Intro je.



Petikan kata-kata seterusnya.

"Seboleh-bolehnya, cuba dapatkan S untuk subjek-subjek yang mudah dalam tahun 1 ni. Nanti naik tahun 2, 3, dah makin susah,"

Kalau tadi aku tersengih girang dalam hati,
kini hanya sengih sumbing yang terukir.

Terasa.
Betul-betul terasa.

Sebab memang ada sesetengah subjek yang aku rasa, "Dapat C pun jadilah. Yang penting lulus."

Serius.



Tak tahu lah orang lain macam mana, tapi banyak subjek yang aku tiada keyakinan. Pada peringkat awal. Boleh dikatakan hampir semua. Kecuali English je kot. Nak kata tak faham, tak jugak. Bahasa yang sensei guna tak ada lah susah sangat sampai tak boleh faham langsung. Cuma diri sendiri je yang tak cuba untuk fahamkan sebab penat dengar bahasa Jepun dari pagi.

Faktor persekitaran juga mempengaruhi. Tengok kawan-kawan Jepun, selamba je tidur, tapi bila sensei tanya boleh jawab. Tak pun kata tak faham, tapi buat soalan laju je. Perkara ini menerbitkan suatu persepsi bahawa banyak perkara yang aku tak tahu, tapi budak-budak Jepun yang sebenarnya muda setahun ni tahu. Makin bertambah-tambah tak yakin.



Sehinggalah suatu hari, apabila aku berjaya menjawab soalan latihan yang diberi dengan sendiri. Walaupun salah, tapi "kejayaan" itu sangat berjaya dan menyuntik kembali keyakinan yang hilang. Aku toleh sekeliling dan baru aku perasan, sebenarnya budak-budak Jepun ni pun sama je macam aku. Bukan semua faham pun. Sebab topik-topik tu perkara baru juga bagi mereka.

Cuma satu je beza.

Mereka rajin usaha dan cuba untuk menjawab.

Berbeza dengan aku.

Mungkin terbiasa dengan budaya "disuap"?



Aku rasa rendah diri, tiada keyakinan berbanding mereka.

Sedang hakikat sebenar, mereka memandang tinggi pada kita, pelajar-pelajar asing ini. Pelajar-pelajar asing beragama Islam. Muslim.



Mereka kagum dengan kemampuan kita berkomunikasi.
Sekurang-kurangnya tiga bahasa. Dengan fasih, kata mereka.

Mereka kagum dengan kebolehan kita bangun awal.
Seawal jam 3-4 pagi, untuk solat Subuh.

Mereka kagum dengan ketahanan kita berpuasa.
Tidak makan dan minum selama siang. Lebih-lebih lagi Ramadan pada tahun ini jatuh pada musim panas.

Mereka kagum dengan kesabaran kita dalam menjaga pemakanan.
Memilih untuk masak sendiri. Sesuatu yang mereka tidak/kurang lakukan.

Mereka kagum dengan tatacara pemakaian kita.
Terutama muslimat, yang tidak berubah biarpun musim berganti.



Dan banyak lagi perkara yang sekiranya mereka tahu, aku kedengaranlah, "Ehh????" yang panjang dek kekaguman yang melampau. Atau mungkin mereka tak pernah tahu perkara tersebut. Ye, banyak perkara yang kita lebih tahu daripada mereka. Hakikatnya kita lebih matang berbanding mereka, budak-budak yang hanya fikir, tengah hari ni nak makan dekat mana dengan siapa, hujung minggu nanti nak buat apa. Sekadar itu.

Tetapi tidak kita. Kerana kita punya matlamat hidup. Kita ada perkara besar yang perlu dicapai. Kita tahu perkara itu. Maka kita perlu berfikir, bukan sekadar kepentingan diri, tetapi juga maslahat (kebaikan) sejagat.




Kita ada iman. Kelebihan paling besar berbanding mereka. Pun begitu, Iman bukan hak milik mutlak individu. Ia suatu nikmat yang perlu disyukuri dan dipelihara. Bukan disalahguna.

Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman)
[Ali Imran : 110]

Masih hebatkan kita sekiranya gagal mematuhi syarat yang Allah tetapkan ini?


Wallahua'lam.



1 comment: