Wednesday, 26 February 2014

Bingkisan untuk kouhai~

Assalamualaikum






Pejam celik pejam celik, Februari sudah hampir ke penghujungnya. Betapa pantas masa berlalu. Sesi pengajian di Jepun juga secara rasminya telah tamat. Bahang kesibukan persiapan menyambut kehadiran pelajar baru juga semakin terasa.







Adik-adik yang dimuliakan
Kurang lebih sebulan lagi, kalian akan terbang meninggalkan tanah air tercinta dan menjejakkan kaki ke bumi sakura yang diimpikan selama ini. Sekurang-kurangnya untuk dua tahun. Walau sudah lama menyimpan angan sekalipun, peluang benar-benar merasai angan-angan itu adalah sangat indah untuk digambarkan. Melainkan kalian sudah pernah tiba ke Jepun, mungkin kurang sikit keterujaannya.
Kalian akan berlepas ke Jepun, dengan pesawat MH152 atau MH153 dari KLIA sekitar jam 11 malam waktu tempatan dan tiba di Terminal 2, Narita International Airport, Chiba sekitar jam 5 pagi keesokan harinya. Prosedur imigresen serta faktor kumpulan yang besar akan memakan sedikit masa sebelum kalian dapat keluar ke balai ketibaan dan disambut pegawai serta senpai di sini.
Kalian akan mula merasa kejepunan Jepun apabila melangkah keluar dari bangunan utama lapangan terbang. Pun begitu, tak usah terlalu teruja. Jepun itu masih di bumi Allah, tak jauh beza dengan Malaysia. Jalannya diturap tar, pokok tumbuh tegak ke atas, dedaunannya hijau, mataharinya memancar cahaya keemasan, malah orangnya juga berkaki dua!
Tidak seperti kami, kalian tiada sesi orientasi. Sebaliknya kalian akan terus dihantar ke penempatan masing-masing. Perjalanan domestik adalah berbeza mengikut kawasan seperti berikut:
1. Kereta, senpai jemput: kawasan sekitar tokyo (Chiba, Tokodai, Yokohama, Saitama)
2. Bas: kawasan kantou (Yamanashi, Utsunomiya, Ibaraki, Gunma, Tsukuba)
3. Shinkansen: luar kantou (Nagoya, Gifu, Kobe, Osaka, Okayama, Hiroshima, Niigata, Sendai, Akita, Yamagata)
4. Penerbangan domestik: luar pulau honshuu (Hokkaido, pulau Kyuushuu, pulau Shikoku) dan dalam pulau honshu yang jauh + tiada akses shinkansen (Toyama, Kanazawa, Fukui, Tottori)
Ketika ini mungkin akan bertambah sedikit perasaan sedih dan sunyi apabila terpaksa berpisah dengan sahabat sepenerbangan. Kumpulan semakin kecil. Kalian juga mungkin akan mula berasa letih, lebih-lebih lagi untuk mereka yang menempuh perjalanan jauh. Namun, kalian akan tiba di tempat masing-masing pada hari yang sama, disambut dan diraikan oleh senpai tempatan. Keraian oleh senpai mungkin akan menghilangkan penat kalian, atau mungkin juga menambahkan penat kalian, berbeza mengikut kawasan dan budaya turun temurun.



Suasana di stesen utama. Ketibaan dengan shinkansen.

Adik-adik sekalian,
Secara ringkasnya begitu lah perjalanan hari pertama kalian di Jepun.
Bagaimana perasaan kalian? Teruja? Tidak sabar menanti saat itu?
Mungkin ada yang sudah mula mengangankan coretan kisah seterusnya. Membeli telefon pintar baru, masuk rumah sendiri, melawat dan mendaftar di universiti, membeli-belah di kawasan terkenal di Jepun seperti Akihabara (bagi warga kantou) dan sebagainya merupakan antara pengalaman baru yang bakal mengujakan anda.
Namun, kalian harus ingat, dalam keseronokan dan keindahan impian, hakikatnya terselit banyak kepedihan dan pengajaran yang mematangkan.
Kesukaran berkomunikasi dan mengurus hidup sendiri, juga perasaan rendah diri akan "kehebatan" classmate Jepun adalah antara kesulitan yang bakal dihadapi.
Lalu, bagaimana untuk menghadapi keperitan itu?



Tidak lain dan tidak bukan, dengan persediaan yang rapi. Kalian ada berbaki kurang lebih sebulan sahaja lagi untuk membuat persediaan. Gunakanlah masa itu sebaiknya, kerana sebulan itu sangat singkat.

Senpai, Kata senpai, sebulan itu singkat. Oleh itu persediaan yang bagaimana yang harus kami lakukan?


Adik-adikku yang disayangi kerana Allah,
Perkara terpenting sebelum melangkah ke dunia asing ini ialah pemikiran. Cara berfikir. Membetulkan cara pemikiran dan memiliki pemikiran yang betul adalah perkara terpenting. Bukan sebelum fly sahaja, malah dalam seluruh aspek kehidupan.
Kerana Nabi Muhammad s.a.w itu sendiri ketika mula diutuskan, baginda tidak menyeru kepada mendirikan solat (ibadah) atau meninggalkan arak (akhlak). Sebaliknya baginda menumpukan 13 tahun - lebih separuh daripada tempoh kenanian - kepada pembinaan akidah, iaitu proses membetulkan pemikiran manusia yang menganggap berhala sebagai tuhan kepada mempercayai Allah sebagai Rab Yang Esa.
Nanti apabila sudah bermula semester pengajian, usah terlalu rasa rendah diri. Walaupun kawan-kawan sekelas Jepun nampak hebat dan menyerlah kepandaian mereka dalam kelas-kelas awal, namun usah terpedaya. Percaya dan yakinlah bahawa kita sebenarnya jauh lebih hebat daripada mereka - dalam banyak perkara. Bahkan, jika diteliti, sememangnya kita punyai banyak kelebihan berbanding mereka.

Seperkara lagi, yang elok rasanya disimpan dalam minda, ialah Jepun tidaklah seindah dikhabarkan. Usah terlalu meletakkan harapan terlalu tinggi pada negara ini. Seorang nenek Jepun pernah berpesan, "bukan semua orang Jepun itu baik", maka berhati-hatilah.
Pendek kata, usah terlalu memandang tinggi dan mengagumi masyarakat Jepun ini. Sebaliknya, persiapkanlah minda kalian mengikut cara pemikiran acuan Islam. Iaitu dengan meletakkan matlamat mengejar keredaan Allah (mardhatillah) dalam setiap perkara yang dibuat. Contoh: "aku nak dapat keputusan terbaik dalam peperiksaan kerana nak buktikan orang Islam tidak bodoh" atau, "aku bawa bekal untuk jimatkan masa makan, maka boleh lah aku solat lama sikit tanpa lewat ke kelas" dan sebagainya. Dengan meletakkan Allah di tempat paling hadapan, insyaAllah susah untuk kalian berasa putus asa, bahkan menjadi dorongan untuk terus maju biarpun payah dan semangat untuk bangkit semula andai tersadung langkah di tengah perjalanan. 

Kerana kalian tahu, apa yang dilakukan itu bukan suatu yang sia-sia, sebaliknya usaha yang kelihatan kecil tetapi bakal menjadi bonus ke syurga di akhirat sana kelak. InsyaAllah.



Adik-adikku yang dikasihi,
Kalau adik-adik rajin nak ulang kaji calculus, algebra, fizik dan kimia sementara mengisi masa lapang ini, tiada masalah. Sangat bagus, malah insyaAllah akan membantu pengajian di universiti kelak.
Namun, harus diingat bahawa ilmu itu tidak terhad kepada isi kandungan buku teks sahaja. Malah tidak keterlaluan rasanya jika senpai katakan bahawa ilmu akademik itu bukanlah perkara yang penting. Kerana sebahagian besar masa di Jepun akan dihabiskan dalam kelas kehidupan, bukan kelas di universiti, di mana differentiation dan integration tidak digunaan pun!
Usah jadi seperti nihonjin, hebat dalam menghafal teori dan formula, tetapi kosong dalam ilmu kehidupan. Mereka hanya mengulang rutin dan meniru budaya yang dilakukan generasi terdahulu. Tanpa matlamat hidup, tanpa kesudahan yang jelas.
Pada kesempatan yang masih berbaki, biarpun singkat, manfaatkanlah sebaiknya dengan memenuhkan ilmu di dada. Perkuatkan asas kefahaman agama, luaskan pengetahuan am tentang negara, insyaAllah akan banyak membantu di sini.
Rebutlah peluang yang terbuka luas di Malaysia untuk mendirikan solat berjemaah sepuas-puasnya, mendengar kuliah agama dan azan sebanyak-banyaknya, serta bahan rujukan agama yang sangat mudah. Sungguh kalian pasti merindui kesenangan itu tatkala dihimpit keperitan mencari agama di sini nanti.
Suka kiranya memetik ucapan wakil pelajar kumpulan ke 30 ketika shuryoshiki yang berbunyi "Sekiranya kamu menolong agama Allah (dakwah Islam), nescaya Allah akan menolong kamu dan memperteguh kakimu" yang juga mafhum ayat 7 Surah Muhammad.
Benar, tidak rugi menyumbang tenaga dalam usaha menyebarkan agama mulia ini. Bukan sedikit senpai yang pernah merasa "dibantu" dalam peperiksaan ekoran keikhlasan dalam membantu Allah (agama-Nya). Harus diingat, peperiksaan di universiti sama sekali berbeza dengan peperiksaan di sekolah mahupun AAJ.

Senpai, Bagaimana yang dimaksudkan dengan "membantu Allah (agama-Nya)" itu?


Surau di Kansai Airport




Adik-adikku yang dihormati,
Yang paling mudah dalam erti "membantu agama Allah" ialah tidak mengabaikan atau meringankan tuntutan agama dalam kehidupan seharian. Kerana Islam itu, dalam erti kata yang mudah ialah cara hidup. Tidak terhad hanya di sejadah mahupun masjid sahaja. Malah turut mencakupi urusan pembelajaran di dalam kelas diajar sensei berbangsa Jepun bukan Islam. Maka bantulah agam Allah dalam setiap urusan seharian kalian, tidak kira sama ada ketika di Jepun mahupun Malaysia, atau di mana-mana sahaja.


Lebih-lebih lagi di Jepun ini, setiap gerak geri dan tindak-tanduk kita - warga asing, terutama muslimat yang bertudung - sangatlah menjadi perhatian masyarakat tempatan. Oleh itu, bantulah agama Allah dengan tidak mencemarkan kesuciannya dek kelakuan "biasa" kita orang Melayu Malaysia (contoh: datang lambat atau ponteng kelas, tidak menepati masa janji, tidak mengamalkan kebersihan, memotong barisan, melanggar peraturan dan undang-undang, dan sebagainya yang kalian juga sedia maklum.)



Adik-adikku yang bijaksana,
Untuk sebulan yang berbaki, ketepikan keterujaan berlebihan terhadap impian ke Jepun. Usah terlalu asyik bergelumang dengan anime dan komik Jepun. Simpan dahulu. Di Jepun nanti, lagi banyak pilihan sampai berpinar mata nak pilih. Masa tu, nikmatilah sepuasnya sampai bosan.
Sebaliknya penuhkanlah masa dengan menyantuni keluarga; berbual-bual dengan ibu bapa, bergurau senda dengan adik-beradik, menziarahi sanak saudara serta menikmati sebanyak mungkin juadah tempatan. Itulah perkara yang pasti kalian rindui!
Usah jadi seperti mendengar guruh di langit air di tempayan dicurahkan.

Akhir kata, Salam Kedatangan Untukmu Rakan kami ucapkan!


Salam Kedatangan Untukmu Rakan (SAKURA) 2013




Senpai yang menanti kedatanganmu.
Wallahua'lam


Glosari:
Senpai - Senior
Kouhai - Junior
Kantou - bahagian timur Jepun (kawasan utama terletaknya bandar Tokyo)
Shuryoshiki - Majlis Penyampaian Sijil Tamat Kursus
Nihonjin - orang Jepun

4 comments:

Muhsin Nor Azmi said...

Kandoushimashita... Arigatou gozaimasu senpai~~~

Mohamad Nadzir said...

Sgt brmanfaat prkogsian akk ni. InsyaAllah ptikn ucpn wakil batch 30 itu akn kami amalkn batch 31. *****

zulfaa zahir said...

check out my new blog : http://unfairytalestories.blogspot.com/
tq=)

~i'm the flying birds~ said...

arigato senpai.... >_<