Monday, 3 December 2012

Beza kita dengan mereka


Assalamualaikum.



Alhamdulillah, satu daripada perancangan yang aku lakarkan untuk pengisian masa lapang selepas EJU telah berjaya dimulakan. Ye, dimulakan. Bukan pengakhiran. Sebab perkara tersebut tidak patut diakhiri.

Iaitu membaca.


Kelas di AAJ pasca EJU agak, atau mungkin juga sangat, lapang. Aku pilih untuk mengisi kelapangan itu dengan membaca. Seminggu, sebuah buku setebal 400 muka surat. Itu target aku. Agak lambat. Aku tahu. Tapi lebih baik sedikit-sedikit. Takut-takut kalau terus dibuat anjakan paradigma yang besar, mudah pula terasa penat dan berputus asa.

Benarlah pembacaan itu memperkaya pengetahuan. Terasa rugi budaya membaca aku pinggirkan seketika, dengan alasan kononnya sibuk. Sedangkan para ulama silam, yang jauh lebih sibuk memikir masalah ummah, lagi banyak membaca dari aku. Ibnu Rusyd misalnya dikatakan tidak pernah meninggalkan buku sepanjang hidupnya kecuali dua malam, iaitu malam pernikahannya dan malam kematian ayahnya.* Betapa cintanya mereka pada ilmu. 


Bahkan masyarakat Jepun juga membaca. Kita?



Sejak aku mula membaca kembali, terasa idea untuk menulis mencurah-curah keluar. Cuma mungkin halangan masa atau kemalasan diri, maka entri tak bertaip-taip.



Namun, fokus utama aku kali ini bukanlah tentang membaca. Aku ingin berkata tentang masa. Tetapi bukan kepentingan masa. Sebab semua orang sudahpun arif akan kepentingan masa, seperti mana pentingnya juga membaca.

Aku ingin kongsikan satu pandangan aku tentang masyarakat Jepun dan masa. Masyarakat Jepun sangat dikenali sebagai masyarakat yang sangat mementingkan dan menepati masa. Ye, semua orang tahu bahawa kereta api akan bergerak tepat-tepat mengikut jadualnya, tak lewat seminit pun. Di tempat aku pun, masa berkumpul dijadual pukul 7:00 pagi, tapi bas sudah menanti seawal 6:50 pagi. Janji Jepun boleh dipercayai.

Itu yang semua orang sudah tahu.



Tapi apa yang menarik perhatian aku ialah sikap mereka terhadap masa yang aku andaikan berkait rapat dengan ketidakpercayaan mereka pada Tuhan. Untuk lebih mudah faham, aku berikan contoh.

Misalnya, dalam situasi kami sekarang, tiada silibus baharu yang diajar. Di dalam kelas, hanya buat ulangkaji, untuk peperiksaan akhir yang bakal menjelang lagi 2 minggu. Ada antara latih tubi yang disusun mengambil masa sekitar 20-30 minit sahaja untuk disiapkan. Pun begitu, guru-guru Jepun ini atau dipanggil sensei tidak akan melepaskan kami pulang awal. Bagi mereka selagi belum pukul 5, selagi itulah kami perlu belajar. Seolah-olah jika kami tidak belajar dan mengulangkaji sehingga pukul 5, usaha kami untuk lulus peperiksaan tidak mencukupi.

Bukan itu sahaja, pernah sedikit masa dahulu, seorang sensei meminta pelajar-pelajar kelasnya menulis ‘diari’ atau catatan masa mereka mengulangkaji dalam masa sehari. Sensei tersebut meng’galak’kan pelajarnya untuk mengulangkaji selama 6 jam sehari, selain daripada masa dalam peruntukan sistem jadual AAJ yang ketat.

Perkara ini membuatkan aku terfikir bahawa, adakah kerana ketidakpercayaan mereka pada Tuhan, membuatkan mereka percaya bahawa usaha berjam-jam itulah yang membuahkan hasil? Oleh sebab itu, selagi belum cukup tempohnya, maka kerja perlu diteruskan. Walaupun tak ada kerja, adakan juga. Yang penting sehingga tempoh diselesaikan.

Sedangkan perkara ini berbeza dengan kepercayaan kita sebagai seorang muslim. Bagi kita, selain berusaha, perlu ada tawakal dan doa. Masa untuk bersama-Nya juga perlu diperuntukkan sebaiknya. Barulah kejayaan mutlak akan tercapai. Bukan semata-mata belajar, belajar, dan belajar. Aktiviti seperti solat sunat, qiamullail, berusrah, menghadiri majlis ilmu juga perlu dilazimi. Kadang-kadang aktiviti seperti inilah yang menambahkan 'saham' dan memudahkan kejayaan kita. Cuma kita sahaja yang jarang perasan.


Perkara ini aku lihat sebagai satu pertembungan budaya dan kepercayaan. Yang boleh dihayati dan diinsafi dari pelbagai aspek. Ada perbezaan. Ada juga persamaan. Kita membaca. Mereka juga membaca. Malah mungkin lebih banyak lagi. Kita menjaga waktu. Mereka juga. Bahkan mungkin lebih tepat.

Bezanya cuma, kita ada Allah. Mereka tidak ber-Tuhan.

Maka buktikanlah kita berbeza dengan mereka. Uruskanlah masa sebijaknya, bacalah ilmu bermanfaat sebanyaknya, namun jangan dikesampingkan Allah Yang Esa. Kalau tidak, apa lagi beza kita dengan mereka?


Wallahua'lam.  

* rujukan: Cinta High Class, muka surat 354

No comments: