Friday, 8 February 2013

Memori AAJ : 'Surat Kouhai-Senpai'

Assalamualaikum



Baru sehari tinggalkan AAJ, dah rindu? Err...

Sambil-sambil termenung semalam, tiba-tiba terkenang memori silam. Terasa masih banyak lagi tentang AAJ yang aku tak catatkan di blog ini. Jadi aku bercadang untuk tulis entri-entri secara imbas kembali. Lebih kepada memperkenalkan aktiviti-aktiviti yang diadakan di AAJ, tapi cara penulisan agak berbentuk diari kot.

Cuma harapan aku, ini bukan entri pertama dan terakhir.

Tu je.

Ok, mula.

[Peringatan : Apabila aku mula berhikayat, memang susah untuk jadi singkat]



Semasa di tahun 1, kami semua diminta menyediakan sebuah fail, ring file yang sebaiknya tebal, untuk kelas yang dipanggil 'Portfolio'. Aku pun tak tahu kenapa kelas tersebut dinamakan begitu. Cuma yang aku tahu, di dalam fail itu perlu diletakkan semua kertas ujian, markah peperiksaan semester dan karangan bahasa Jepun. Setiap kali selepas tamat peperiksaan, kelas ini akan diadakan dan sensei akan menyemak kandungan fail tersebut.

Salah satu matlamat kelas ini adalah supaya kita dapat memantau dan melihat progres kita sendiri, terutama subjek bahasa Jepun. Pernah kami diminta untuk menyediakan graf pencapaian kami. Tapi aku tak buat pun masa tu. Selain itu, kalau ada masalah atau sebagainya, ketika kelas ini lah, kita boleh berbincang dengan sensei yang dipertanggungjawabkan sebagai mentor pelajar. Kadang-kadang boleh jadi sesi bual-bual mesra antara sensei dan pelajar.

Lagi satu, mungkin juga, dengan adanya fail ini, kecenderungan dan 'hobi' pelajar untuk membuat kapal terbang kertas menggunakan kertas ujian dapat dikurangkan.



Kemudian, kami juga diminta untuk meletakkan beberapa helai kertas, tak kisah apa-apa pun, yang dirasakan amat bermakna. Kena pilih la. Takkan nak letak semua kertas kuiz atau helaian latihan dalam kelas. Tak muat fail tu nanti.

Dalam fail aku, ada sehelai 'surat'. Aku tak pasti sama ada 'surat' tersebut dijadikan item wajib ataupun tidak. Rasa macam diwajibkan. Em, rasa la...

Tapi aku memang nak cerita tentang surat ni.

Ceritanya bermula....



Masa pertama waktu pagi, hari pertama selepas cuti tahun baru 2012. 3 Januari 2012. Kami semua berkumpul di dewan kesayangan, ADK 1. Duduk ikut suka. Aku duduk di wing belah kanan, tempat pelajar perempuan berkelompok. Agak belakang sedikit, di satu kerusi yang sampai akhir AAJ seolah-olah di'reserved' untuk aku. Paling hampir dengan dinding, tiga baris dari belakang. Lepas 3 kerusi, ada satu kerusi rosak. Huh, takkan lupa tempat tu.

Tak ingat berapa minit selepas kelas bermula, kami semua diberikan sehelai kertas. Yang mempunyai bahagian atas dan bawah. Kami dikehendaki menulis masalah yang dihadapi dalam mempelajari bahasa Jepun di bahagian atas tersebut. Dikatakan bahawa 'surat' kami ini akan 'dijawab' oleh senpai-senpai (senior). Kami diberi kebebasan untuk menggunakan sebarang bahasa, Melayu, Inggeris, Jepun, ikut suka hati dan keselesaan, memandangkan ketika itu penguasaan bahasa Jepun kami masih di peringkat biasa-biasa. Kami juga diminta untuk menulis nama samaran dan kelas.

Semua orang pun mula la menulis dengan excitednya. Aku memilih untuk menulis dalam bahasa Jepun, manakala kawan-kawan di sebelah hampir semuanya cuba mengelak daripada menggunakan bahasa Jepun. Selesai menulis, semua 'surat' dikumpulkan.

Seterusnya sensei membuat satu announcement yang agak mengejutkan.

"Ok, sekarang saya nak kamu semua berlagak seperti senpai, dan jawab 'surat-surat' rakan kamu ni"

Serentak dengan itu, surat diedarkan kembali, yang pasti bukan pada tuannya. Di pihak aku dan rakan-rakan, sudah ada yang berbisik-bisik sesama sendiri, mengadu malu dan sebagainya. Tak tahu macam mana aku pun tak terfikir yang 'surat' tu akan dijawab oleh batch kami sendiri.


Tak lama selepas itu, aku pun terima la sekeping 'surat' daripada 'kouhai' aku. Surat yang aku terima bertulis dalam bahasa Jepun sepenuhnya. Masih ingat lagi, kawan sebelah aku cakap:

"Tu la tulis Nihongo (bahasa Jepun) lagi, kan dah dapat yang nihongo juga"

Aku sengih je. Dan mula membaca 'surat' tersebut. Impression pertama aku:

"Poyo nye budak ni!"

Bukan sebab dia tulis sepenuhnya dalam bahasa Jepun. Tapi sebab intipati surat tersebut. Secara kasar yang aku masih ingat, dia mengatakan bahawa dia merasakan dia tiada masalah dengan bahasa Jepun. Ala-ala masuk bakul angkat sendiri la. Cuma dia bertanyakan cara menambah baik skill chokai (pendengaran). Menambah baik atau mengatasi masalah? Aku tak ingat. Yang pasti berkaitan dengan chokai.

Kebetulan ketika itu aku juga mengatasi masalah yang hampir sama, yang aku tuliskan dalam 'surat' aku. Dalam hati berbisik, 'macam tahu-tahu je aku pun sama'. Beberapa hari sebelum tu, aku ada berbincang dengan umi di rumah, berkaitan masalah ini. Memandangkan aku minat menonton drama Jepun, umi mencadangkan agar aku menonton drama tersebut tanpa melihat kepada sari kata.

Dan itulah jawapan aku kepada 'kouhai' tersebut.


Beberapa hari selepas itu, kami menerima kembali 'surat' kami yang telah dijawab oleh 'senpai' yang berdedikasi. 'Surat' aku dijawab dengan menggunakan pen berdakwat pink, menyebabkan aku mula-mula rasa seronok kerana menyangka 'senpai' aku ialah perempuan. Tapi rupanya lelaki. Mungkin sengaja hendak mengelirukan. Lagi pula, aku gunakan nama samaran yang sudah diketahui umum.

Jawapan 'senpai' aku pun agak poyo. Cara penulisan konon macam dia memang dah ada kat Jepun. Menyebabkan aku membuat kesimpulan bahawa lelaki memang poyo. 'Kouhai' aku tu pun aku agak lelaki. Em, normal la kan lelaki poyo... So, aku tak ada la nak kisah sangat.

Search for 'poyo'. Rupanya kucing tu nama dia 'Poyo'. Baru tahu. Nice!


Identiti 'senpai' tu aku tahu tak lama selepas itu. Ada la dalam seminggu juga. Tapi identiti 'kouhai' agak lambat. Hampir beberapa bulan juga rasanya. Aku mengetahui identiti 'kouhai' itu pun dalam keadaan yang tidak terancang. Sejujurnya aku terkejut apabila mengetahui itu orangnya. Tapi hanya setakat sangkaan berdasarkan kebetulan yang aku jumpa. Aku tak pernah bertanya pada individu tersebut.

Kadang-kadang terasa macam nak tengok balik pulak 'surat' jawapan aku tu. Tapi mustahil la nak minta kan? Cuma aku berharap agar 'surat' itu masih disimpan dengan baik. Mana tahu, kot-kot suatu hari aku boleh tengok balik. Mesti nostalgik.

Ok, dah, itu namanya terlebih baca novel.



Oh ye, aku masih ingat lagi nama samaran yang tak ada la panjang mana pun, gabungan alphanumeric, nombor di depan dan satu perkataan Jepun di belakang yang dicantum menjadi satu kod. Kot.

Masih tertanya-tanya, agak-agak 'kouhai' tu tahu tak aku 'senpai' dia? Malunya kalau dia tahu.



No comments: