Friday, 22 March 2013

Hai, Jepun!

Assalamualaikum



Catatan terakhir dari Malaysia, sebelum berangkat ke bumi Sakura malam ini. InsyaAllah. Makin hampir ke saat perpisahan tiba, makin sayu suasana. Mood nak menulis pun tak berapa ada, tapi nak tinggalkan sesuatu sebagai kenangan terakhir. Cewaah, ayat!

Ada beberapa perkara ingin dikongsikan. Mungkin sesuai untuk pembacaan semua peringkat usia. Sama ada sahabat-sahabat yang akan sama-sama terbang, mahupun adik-adik lepasan SPM yang sedang tercari-cari arah tujuan selepas ini.




Aku ingin kongsikan tiga kisah.

Kisah 1.

Ketika di pertengahan Tahun 1 pengajian di AAJ, aku pernah berniat mahu ke Osaka University, gara-gara tertarik dengan ranking dan kedudukannya yang kelihatan gah. Itu kisah di Tahun 1, zaman kanak-kanak tak berapa matang lagi di AAJ.

Kemudian, naik ke Tahun 2, tiba-tiba pilihan aku berubah. Hanya kerana satu sebab kecil. Osaka University terkeluar terus daripada senarai pilihan.


Kisah 2.

9 Februari 2012. Aku berpeluang menghadiri majlis penyampaian sijil tamat kursus untuk pelajar-pelajar senior. Ketika majlis tersebut, pelajar yang mendapat keputusan paling cemerlang diberi penghormatan untuk menyampaikan ucapan sebagai mewakili pelajar-pelajar lain.

Kagum dengan pencapaian akak senior di samping merasakan peluang itu satu kesempatan yang seronok, aku memasang niat untuk menjadi wakil pelajar pada tahun berikutnya.

Namun setelah naik ke Tahun 2, mengharungi kepahitannya dan menduduki peperiksaan tersebut, aku rasakan impian tersebut seperti angan-angan Mat Jenin.


Kisah 3.

Di AAJ, ramai pelajar yang memiliki gajet canggih. Sebagai alat bantu pembelajaran. Dalam banyak-banyak gajet tersebut, aku tertarik dengan tablet. Hingga aku pernah berniat untuk memiliki sebuah tablet milik sendiri.

Tapi setelah berfikir banyak kali dan menyedari tablet kurang mesra perisian menaip, aku padamkan sahaja keinginan tersebut. Tambahan pula aku punyai sebuah laptop yang boleh tahan hebatnya.


Tamat kisah.

Pada 7 Februari lalu, aku berpeluang berucap di pentas Dewan Tunku Canselor (DTC), Universiti Malaya. Bermula April ini, aku bakal bergelar mahasiswa Osaka University. Manakala entri ini pula ditulis menggunakan tablet jenama Acer. Alhamdulillah.


Apa motif aku?



Sebenarnya, aku nak kongsikan persamaan antara ketiga-tiga kisah hidup aku ini. Ketiga-tiga impian menjadi kenyataan dalam keadaan yang tidak disangka. Yang mana, di pertengahan jalan aku pernah 'berputus asa' dengan ketiga-tiganya. Kemudian digerakkan kembali hati untuk kembali pada niat asal, yang dicetuskan oleh kejadian-kejadian biasa, tetapi signifikannya luar biasa.

Cuba perhatikan, dalam ketiga-tiga coretan, ada terselit perkataan 'niat'. Kan?

Kalimah itu yang aku ingin kongsikan kali ini. Daripada pengalaman ini, aku percaya bahawa apabila kita memasang niat, dan diperkenankan niat tersebut oleh Allah, maka walau bagaimana sukarnya jalan yang akan ditempuh, tetap niat atau impian tersebut menjadi kenyataan. Dengan izin-Nya.

Aku terasa betapa pentingnya niat. Yang baik dan memberi manfaat.

Cumanya, sekiranya kita meniatkan sesuatu kerana Allah atau Islam, perlulah kita berusaha sehabis baik kerana Allah tidak menerima perbuatan yang dilakukan secara sambil lewa. Allah mahukan yang terbaik. Untuk kebaikan kita juga dan nama baik agama. Allah tidak mendapat sebarang kemudaratan mahupun manfaat daripada apa-apa perbuatan kita.


Untuk adik-adik yang tengah seronok-seronok dengan keputusan SPM semalam, fikir baik-baik pilihan seterusnya. Tetapkan niat yang betul. Andai berminat dengan Jepun, selidik dahulu baik-baik kursus yang ditawarkan, kehidupan di pusat persediaan dan kemudiannya Jepun, serta bandingkan dengan kemampuan diri, fizikal dan mental. Dikhuatiri timbul penyesalan di pertengahan jalan. Akhirnya tiada yang boleh dibanggakan. Sia-sia sahaja segala usaha. Bukan ingin menakutkan, tapi itulah hakikat. Memang ada yang kecundang, pulang tanpa sebarang pengiktirafan, perlu mulakan kembali dengan sijil SPM.

Blog yang menjadi rujukan aku sendiri, suatu masa dahulu.



Sebelum melangkah keluar, aku sematkan beberapa niat, yang ingin direalitikan di Jepun. Semoga dipermudahkan urusan. InsyaAllah.

Ittekimasu~~!

Walllahua'alam.

1 comment:

Nur Amira Ilyani said...

wuuuu~~~ janggut punya blog hahaha