Satu lagi entri tergendala.
Entri yang mula ditulis sebaik sahaja selesai usrah. Tapi hanya disambung kembali menjelang siri usrah kedua. Fail betul. Haish~
[makluman: tarikh yang tertera adalah berbeza dengan tarikh sebenar entrri disiapkan.]
Pra-usrah / Yoshuu.
Kedua-dua video di atas adalah video biasa. Tipikal tentang pengorbanan ibu bapa. Tiada yang luar biasa, rasanya.
Tappi mungkin boleh jadi renungan sebelum kita terbang jauh meninggalkan mereka. Di sebalik kebanggaan dan kegembiraan mereka dengan pencapaian kita, jauh di sudut hati mereka sebenarnya sangat berat untuk melepaskan kita. Kesedihan kerana perpisahan itu lebih besar, cuma mungkin disembunyikan.
Maka, balaslah pengorbanan mereka itu dengan kejayaan dan perubahan diri ke arah lebih baik. Kenang mereka dahulu sebelum lakukan sesuatu.
Tadabbur Surah Ali Imran ayat 144-148
Mengambil pengajaran daripada Badar, ada yang beranggapan bahawa walaupun bilangan mereka sedikit, pasti akan dibantu oleh Allah, kerana sedang melakukan kebaikan. Benar, membantu agama Allah, pasti akan dibantu.
Namun hakikatnya, akan ada juga ketikanya para penyebar dan pendokong agama ini diuji, dengan pelbagai bentuk ujian kerana para pejuang Islam yang sebenar tidak boleh lemah dan berputus asa. Cabaran dan dugaan adalah sebagai proses menyaring atau menapis bagi mengenalpasti golongan pembantu Allah yang sebenar.
Zaman sekarang, peperangan menegakkan Islam bukan lagi berbentuk fizikal. Tetapi lebih kepada serangan berbentuk pemikiran dan gaya hidup. Dalam bahasa Arabnya disebut "ghazwatul fikr". Hatta dalam sebuah negara yang berlabel Islam sendiri pun, cara hidup selain Islam masih luas diamalkan. Inilah tugas para pendakwah zaman moden.
Mungkin semakin mudah hasil perkembangan teknologi, tetapi mungkin juga semakin sukar kesan penyebaran maklumat tanpa sempadan juga.
Ayat 144
Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau dia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka dia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu).
Sedikit perkongsian tentang perang Uhud, mungkin ada yang tidak tahu.
Perang Uhud berlaku di kawasan bernama Uhud. Dalam perang ini, pasukan pemanah telah ditempatkan di atas bukit dan diberi arahan supaya jangan sesekali berganjak dari posisi masing-masing walau apa pun berlaku.
Ketika tentera Muslimin sudah hampir mencapai kemenangan, ada beberapa pemanah yang ingkar akan pesanan Rasulullah dan turun meninggalkan tempat mereka untuk sama-sama mengutip harta yang ditinggalkan musuh. Sangka mereka, musuh telahpun lari. Tetapi mereka lupa bahawa perang sebenarnya masih belum berakhir.
Kekosongan tempat tersebut digunakan sebaiknya oleh tentera pimpinan Khalid bin Al-Walid yang ketika itu masih belum Islam untuk melakukan serang hendap. Kesannya banyak panglima yang gugur syahid akibat ketidaksediaan ketika itu. Turut tersebar khabar angin mengatakan Rasulullah telah terbunuh, menyebabkan timbul keraguan dalam kalangan tentera sama ada untuk meneruskan peperangan atau berundur.
Maka turunlah ayat ini sebagai peringatan daripada Allah bahawa risalah Allah itu tetap akan tersebar walaupun tanpa Rasulullah. Baginda hanyalah sebagai pengantara untuk menyampaikannya kepada umat manusia. Bukanlah 'Tuhan' untuk disembah dan disandarkan segala perbuatan kepadanya.
Ayat ini menunjukkan bahawa Islam bukanlah berlandaskan model atau figura tertentu, sebaliknya berasaskan prinsip dan kepercayaan kita. Walaupun kita ingin mengambil contoh teladan daripada ustaz-ustazah atau alim ulama untuk dijadikan panduan dalam kehidupan seharian, janganlah sampai menjadi taksub, sehingga apa sahaja yang dilakukan mereka, biarpun menyalahi syariat, diakui dan disokong membuta tuli.
Andai kata role model itu tiba-tiba hilang dari medan dakwah (futur), adakah kita juga akan turut futur?
Ayat 145
Dan (tiap-tiap) makhluk yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah, iaitu ketetapan (ajal) yang tertentu masanya (yang telah ditetapkan oleh Allah) dan (dengan yang demikian) sesiapa yang menghendaki balasan dunia, kami berikan bahagiannya dari balasan dunia itu dan sesiapa yang menghendaki balasan akhirat, kami berikan bahagiannya dari balasan akhirat itu dan Kami pula akan beri balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur.
Ayat ini menerangkan bahawa setiap yang hidup pasti menemui ajalnya. Dalam satu firman lain, Allah ada menyebutkan bahawa ajal seseorang itu tidak akan diawalkan ataupun dilewatkan walaupun sesaat. Memang tepat-tepat pada masa yang ditetapkan.
Ayat ini juga menyatakan bahawa sesiapa yang mengejar kesenangan dunia semata-mata, maka dia akan memperoleh nikmat dunia itu. Sebaliknya sesiapa yang mengejar kesenangan akhirat, maka Allah akan mengurniakan padanya nikmat akhirat, bersama-sama kesenangan di dunia. Pilihan terletak di tangan kita.
Mengejar kesenangan akhirat termasuklah berusaha meneruskan kehidupan Islam dan ajaran Nabi Muhammad s.a.w. Pilihan yang mengundang kesukaran di dunia, tetapi dijanjikan nikmat dan ganjaran yang besar di akhirat. Ada sebuah kisah untuk direnung bersama.
Pada suatu hari, berlaku perbualan di antara Nabi saw. dengan Saidina Abu Bakar Siddiq serta para sahabat lain.
“Wahai Abu Bakar, aku begitu rindu hendak bertemu dengan saudara-saudaraku (ikhwanku),” berkata Nabi saw.
“Wahai Rasulullah, bukankah kami ini teman-teman engkau?” jawab Abu Bakar.
“Bukan,” jawab Nabi saw. “Kamu adalah sahabat-sahabatku”.
Para sahabat menjadi keliru dan hairan siapakah yang dimaksudkan dengan ikhwan yang Nabi rindukan itu. Setahu mereka yang paling rapat dengan Nabi ialah para sahabat sendiri. Melihatkan Abu Bakar dan sahabat-sahabat lain kebingungan, Nabi segera menjelaskan;
“Ikhwan ialah mereka yang belum pernah melihat aku, tetapi mereka beriman dengan aku sebagai Rasulullah dan mereka mencintaiku lebih daripada kecintaannya kepada anak dan orang-orang tua mereka”.
Para sahabat masih belum berpuas hati dan bertanya, “Ya Rasulullah, bukankah kami ini ikhwan (saudara) engkau?”
“Kamu semua adalah sahabat-sahabatku!” sekali lagi Nabi menjelaskan.
“Wahai Abu Bakar, tidakkah engkau juga merindui ikhwanku itu, kerana mereka juga mencintai engkau lantaran engkau adalah sahabatku?”
Persoalan ikhwan menjadi teka-teki kepada para sahabat. Kemudian Nabi memberitahu bahawa mereka ialah umat Nabi sesudah wafatnya baginda. Walaupun mereka tidak berjumpa dengan baginda namun tetap beriman kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka membaca al-Quran dan al-Hadis serta mencintai Nabi-Nya sebagai Rasulullah yang penghabisan. Mereka juga mencintai sahabat-sahabat Nabi yang berjuang menegakkan Islam.
"Berbahagialah orang yang beriman kepadaku padahal tidak pernah melihatku." Nabi ucapkan kalimat terakhir ini tujuh kali.
[dipetik dari sini]
Tidakkah kita mahu menjadi sebahagian daripada ikhwan ini?
Ayat 146
Dan berapa banyak dari Nabi-nabi (dahulu) telah berperang dengan disertai oleh ramai orang-orang yang taat kepada Allah, maka mereka tidak merasa lemah semangat akan apa yang telah menimpa mereka pada jalan (agama) Allah dan mereka juga tidak lemah tenaga dan tidak pula mahu tunduk (kepada musuh) dan (ingatlah), Allah sentiasa Mengasihi orang-orang yang sabar.
Dalam ayat ini, ada 3 ciri penting yang disebutkan oleh Allah, yang perlu dimiliki oleh orang-orang yang berjuang iaitu:
1. Tidak merasa lemah semangat (فَمَا وَهَنُوا)
Allah menggunakan perkataan 'wahan' yang bermaksud kecintaan melampau kepada dunia dan takutkan mati. Sedangkan kematian adalah nikmat terbesar dalam kehidupan insan kerana dengan mati, maka dapatlah kita bertemu dengan Allah dan Rasul-Nya.
'Wahan' merupakan penyakit paling biasa melanda umat manusia zaman kini. Kebergantungan yang terlampau kepada harta dan wang ringgit sehingga menganggap kekayaan adalah segala-galanya menyebabkan manusia sanggup berbuat apa sahaja untuk memperolehnya. Walaupun dengan jalan yang salah. Dek kerakusan mengejar dunia, mereka alpa dan lalai akan kewajipan yang sebenar iaitu beribadah kepada Allah. Seterusnya, kekurangan amal ibadah akan mewujudkan simptom 'takut mati'.
2. Tidak lemah tenaga (وَمَا ضَعُفُوا)
Dalam ayat ini juga diingatkan kepada para da'ie agar tidak sesekali patah semangat atau berputus asa. Sesungguhnya syaitan itu memang musuh ketat umat Islam. Makin tinggi semangat dalam berdakwah, makin berekor-ekor syaitan datang mengejar. Seorang pendakwah seharusnya tidak getar dan lemah dengan ujian yang mendatang.
3. Tidak mahu tunduk atau menyerah kalah (وَمَا اسْتَكَانُوا)
'Tunduk atau menyerah kalah' ini diertikan sebagai hanya berdiam diri tanpa berbuat apa-apa apabila berlakunya perkara-perkara yang boleh menggugat iman. Sedangkan dalam menegakkan kebenaran dan memerangi kemungkaran, pasti banyak dugaan yang mendatang. Pendakwah yang hakiki tidak akan berdiam diri mahupun lari menyelamatkan diri sahaja.
Sabar seperti yang disebutkan dalam ayat ini dibahagikan kepada 2 bahagian oleh Saidina Umar iaitu sabar dalam berbuat kebaikan dan sabar dalam ditimpa ujian. Manakala kebanyakan ulama' lain termasuk Ibnu Kathir menambah satu lagi pecahan iaitu sabar dalam meninggalkan larangan; perkara paling susah untuk dilakukan.
Dan tidaklah ada yang mereka ucapkan (semasa berjuang), selain daripada berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami! Ampunkanlah dosa-dosa kami dan perbuatan kami yang melampau-lampau dalam urusan kami dan teguhkanlah tapak pendirian kami (dalam perjuangan) dan tolonglah kami mencapai kemenangan terhadap kaum yang kafir.
Ayat ini ialah doa dalam menghadapi golongan kafir yang memberi ancaman terhadap Islam.
Ayat 148
Oleh itu Allah memberikan mereka pahala dunia (kemenangan dan nama yang harum), dan pahala akhirat yang sebaik-baiknya (nikmat Syurga yang tidak ada bandingannya). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang berbuat kebaikan.
Kesimpulan
Tarbiyyah atau didikan serta ilmu yang diperoleh dalam bulatn gembira tidak membawa apa-apa erti sekiranya tidak disebarkan dan dikongsi serta dipraktikkan bersama-sama.
Maaf, entri sangat panjang dan mungkin bosan sebab tiada gambar. Harap mudah difahami. Sekiranya ada kesilapan sila betulkan, kekurangan sila tambahkan. Kongsikan bersama.
Wallahua'lam.
3 comments:
tanx post,dear.dapat revise balik part awal2 yg ak tertinggal
“Ikhwan ialah mereka yang belum pernah melihat aku, tetapi mereka beriman dengan aku sebagai Rasulullah dan mereka mencintaiku lebih daripada kecintaannya kepada anak dan orang-orang tua mereka”.
long, but nice post.ku3~ =w=
Salam ziarah. Blogwalking di blog awk. Jemput la follow dan jalan2 ke blog saya juga http://haziyatulnajihah.blogspot.com/
Post a Comment