Thursday, 21 February 2013

Raikan Perbezaan

Assalamualaikum

Lelaki dan permpuan sentiasa berbeza


Aku sedikit musykil, kenapa entri aku selalu 'hit' seminggu selepas? Kenapa bukan ketika di'post' itu juga?

Em, persoalan yang tidak penting untuk difikirkan. Lebih baik diabaikan sahaja. Hmm...


Untuk entri kali ini aku ingin berkongsi satu pengalaman.


Suatu hari, di antara hari-hari terakhirku di AAJ, aku diajak menghadiri satu program anjuran Masturat (Tabligh versi wanita). Buat kali pertama. Peluang tidak aku sia-siakan, kerana aku memang ingin mengetahui tentang mereka dengan lebih mendalam. Selama ini, aku hanya mendengar penerangan daripada khabar-khabar angin sahaja, menyebabkan aku mudah membuat kesimpulan sendiri. Aku tidak berpuas hati dengan situasi tersebut.

Kami pergi bertiga, berjalan kaki sahaja. Setibanya di tempat majlis ilmu tersebut, perkongsian telah pun bermula. Kami masuk perlahan-lahan ke dalam bulatan dan segera mengikuti agenda majlis. Habis satu perkongsian, beralih ke agenda lain pula. Sehingga la waktu rehat tiba.

Ketika rehat, seorang makcik mendekati kami. Menurut ceritanya, beliau seorang yang agak aktif dan sudah berkecimpung dalam arena dakwah dalam masa yang lama. Seterusnya beliau berkongsi cerita dan pengalaman sambil menerangkan serba ringkas mengenai latar belakang gerakan yang digelar tabligh ini. Banyak yang aku pelajari. Sedikit sebanyak persepsiku terhadap mereka mula berubah, ke arah lebih positif.

Aku bersyukur kerana diberi peluang bertemu dengan mereka, dan mempelajari lebih terperinci tentang mereka daripada mereka sendiri.


Masturat, ertinya 'yang ditutup'


Tapi aku harap kalian tidak salah faham. Aku bukan ingin mempromosi tabligh dan mewar-warkan bahawa aku mengikuti mereka. Tidak juga mengatakan mereka salah dan aku menolak mereka. Bukan, bukan itu tujuan aku berkongsi cerita. Aku hanya memberi contoh. Tak lebih dari itu.


Yang aku cuba kongsikan ialah:

1. Kenal dahulu sebelum membuat spekulasi
2. Hormati dan raikan perbezaan


Seorang ustaz ada berpesan.

Dalam menghadapi kepelbagaian jemaah atau organisasi, utamakan ukhuwah.

Seorang kakak usrah ada berkata, tetapi ayatnya telah diskemakan sedikit.

Sekiranya seseorang itu ikhlas berukhuwah dengan kita, perbezaan jemaah tidak seharusnya menjadi masalah.

Aku amat bersetuju. Walau bagaimanapun keadaannya, ukhuwah yang utama.




Bagi aku, tiada jemaah yang sempurna, kerana manusia tidak terlepas daripada dosa. Maka seharusnya kepelbagaian jemaah yang memperjuangkan Islam, tak kira di mana, bersepakat dan bukannya bertikam lidah. Mungkin sukar untuk bersatu kerana masing-masing punya matlamat dan visi tersendiri. Tapi tidak salah dan tidak mustahil untuk saling melengkapi dan bekerjasama.

Mungkin jemaah A punyai ahli-ahli yang korporat, jemaah B pula dianggotai ustaz-ustazah para ilmuan Islam. Manakala ahli jemaah C ramai yang lantang berdebat dan petah berkata-kata. Seandainya mereka bekerjasama dan memainkan peranan di bidang kepakaran masing-masing dengan baik, bukankah umat Islam juga yang untung? Kesemua bidang, politik, ekonomi, tarbiah dan lain-lain mampu dikuasai. Fikir-fikirkan.

Namun, akibat kepelbagaian ini, perselisihan dan perbezaan pendapat mungkin mudah berlaku. Kerana masing-masing punya cara dan pandangan terhadap suatu perkara dari sudut berlainan. Seharusnya kita berlapang dada, menghormati pendirian serta berusaha ke arah mencari persamaan, bukan meluaskan jurang perbezaan.



Bagaimana pula jika 'jemaah' itu diganti dengan 'individu'?

Tiada bezanya. Kerana syaitan memang tidak suka melihat persahabatan yang ikhlas antara dua individu, kerana perkara itu mendekati jalan syurga dan menjauhi neraka. Syaitan akan rugi. Maka makhluk ini tidak putus-putus membisikkan hasad dan prasangka ke dalam hati-hati manusia, agar mudah menghakimi dan menuduh orang lain, berdasarkan pemerhatian semata-mata. Bukan pengetahuan dan penyelidikan yang teliti. Akibatnya manusia akan berpecah belah dan bertelingkah sesama sendiri.

Oleh itu, sebagai insan yang lemah, seharusnya kita berhati-hati dengan perangkap syaitan ini. Bisikan-bisikan yang muncul dalam diam, harus ditepis sekuat-kuatnya. Mujahadah sebagai perisai, muhasabah sebagai pengukur. InsyaAllah kita mampu atasi.



Akhir kata,

Learn about them, and you'll know more.
Celebrate the differences and respect others.
Ukhuwah is the first, forever and always.

Wallahua'lam.

[Sekadar penulisan, perkongsian dan pandangan peribadi secara umum. Harap maaf sekiranya menyinggung mana-mana pihak]


1 comment:

Anonymous said...

apa yg dimuzakarahkan waktu program masturat tu?